pertanyaan majlis mesyuarat kerajaan hubungi majlis mesyuarat kerajaan maklumbalas majlis mesyuarat kerajaan peta laman majlis mesyuarat kerajaan
utube majlis mesyuarat kerajaan facebook majlis mesyuarat kerajaan

    KEDAH TAWAR RM4,000 PADA ATLET RAIH PINGAT EMAS DI SUKMA 21, SARAWAK 2024

    ALOR SETAR (07 Ogos 2024) – Kerajaan Negeri Kedah menawarkan ganjaran berupa wang tunai kepada atlet-atlet yang berjaya meraih pingat di dalam acara Sukan Malaysia, SUKMA 21 yang akan berlangsung di Sarawak mulai 14 Ogos nanti sebagai tanda penghargaan kepada para atlet yang berjaya menjulang nama negeri Kedah.

    Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata insentif kemenangan yang berbentuk kewangan akan diberi “On The Spot” bagi sukan individu ialah sebanyak RM1,000 bagi Pingat Emas, RM500 bagi Pingat Perak dan RM300 bagi Pingat Gangsa manakala baki selebihnya akan diberikan apabila atlet pulang dari SUKMA nanti.

    “Selain dari sukan individu terdapat sukan berpasangan dan berkumpulan juga akan diberi insentif mengikut kategori masing-masing iaitu bagi sukan berdua akan diberikan RM500 bagi Pingat Emas, RM250 Pingat Perak dan RM150 bagi Pingat Gangsa.

    “Untuk acara yang melibatkan penyertaan tiga hingga enam orang sebanyak RM300 untuk pingat Emas, RM150 Pingat Perak dan RM100 Pingat Gangsa. Manakala untuk sukan berpasukan dengan penyertaan tujuh orang ke atas akan mendapat insentif sebanyak RM200 bagi Pingat Emas, RM150 Pingat Perak dan RM100 untuk Gangsa.

    “Oleh demikian, insentif sebanyak RM3,000 juga akan diberikan kepada atlet yang meraih Pingat Emas, RM2,000 Pingat Perak dan RM1,000 Pingat Gangsa apabila mereka pulang dari SUKMA Sarawak nanti,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Penyerahan Bendera Oleh Menteri Besar Kedah Kepada Kontinjen Negeri Kedah Darul Aman Ke Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 21, Sarawak 2024 di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti di sini, hari ini.

    Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia Dan Sukan Negeri, Muhammad Radhi Mat Din; Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali; Pegawai Kewangan Negeri Kedah, Dato’ Wira Syed Khairol Anuar Syed Abidin; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Mohd Fauzi Mustaffa; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato’ Dr. Nazman Mustaffa dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Kedah, Zulzuraidy Othman.

    Dalam perkembangan sama, Sanusi turut berkata untuk SUKMA Sarawak 2024, dimaklumkan bahawa sasaran kita ialah 23 Pingat Emas, 24 Pingat Perak dan 25 Pingat Gangsa serta berada di tangga ke 10 di antara 15 kontinjen yang bertanding. Sukan-sukan yang dijangkakan akan menyumbangkan pingat adalah seperti Sukan Berbasikal, Judo, Skuasy, Perahu Layar, Pencak Silat dan Wushu Sanda. Skuad Perahu Layar, Berbasikal dan Pencak Silat Negeri Kedah tidak pernah menghampakan Negeri Kedah sejak mula penyertaan dalam SUKMA sentiasa bawa balik pingat Emas.

    “Walaupun hanya enam sukan diumumkan sebagai sukan tumpuan, tetapi semestinya Kerajaan Negeri Kedah menaruh harapan yang tinggi kepada 26 lagi sukan lain yang turut dipertandingkan. Malah, saya difahamkan bahawa Kontinjen Negeri Kedah bakal menghadiahkan kejutan yang pasti membanggakan mungkin dari sukan-sukan yang telah disebut atau pun mungkin daripada beberapa sukan yang lain. Jadi, saya sarankan agar seluruh rakyat Negeri Kedah mengikuti perkembangan Kontinjen Negeri Kedah sepanjang SUKMA Sarawak 2024 berlangsung nanti.

    “Satu lagi perkara yang saya nak peringatkan, jangan sekali-kali angkuh dan ambil mudah. Jangan pergi ke tempat orang, kita ambil peluang berseronok sampai hilang fokus. Angkuh dan bongkak adalah perangai syaitan yang perlu kita jauhi. Yakin diri itu perlu tetapi untuk diri sendiri sahaja, jangan sampai menyombong di hadapan orang lain, apa lagi pasukan lawan.

    “Saya percaya semua atlet Kedah sudah berlatih dengan bersungguh-sungguh tetapi ingat lawan kita juga buat perkara yang sama, dan seperti kita, depa juga nak menang pingat emas.

    “Walaupun semua atlet bercita-cita berdiri di podium pemenang dan bergelar juara, namun tujuan utama kita bertanding dengan peserta dari negeri-negeri yang lain adalah untuk mengasah bakat dan potensi agar atlet bertaraf antarabangsa dapat dilahirkan dari Negeri Kedah untuk mewakili negara di persada dunia sukan yang lebih tinggi. Ayuh tonjolkan kebolehan anda dalam acara sukan masing-masing. Jika anda semua dipilih untuk menyertai kontinjen Kedah, pasti anda layak untuk meraihkan kejayaan di SUKMA Sarawak 2024 nanti,” ujarnya.

    Sumber : Warta Kedah

    © 2024 Hak Cipta Pejabat Dewan Undangan Negeri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman.

    Please publish modules in offcanvas position.

    Laman Web ini sesuai dilayari pada pelayar web Internet Explore II, Google Chrome 35, Firefox 35 ke atas dan resolusi terbaik adalah 1024 x 768 ke atas.

    | Terma & Syarat | Dasar Privasi & Keselamatan | Penafian | W3C | Peta Laman | Portal MyGOVERMENT