pertanyaan majlis mesyuarat kerajaan hubungi majlis mesyuarat kerajaan maklumbalas majlis mesyuarat kerajaan peta laman majlis mesyuarat kerajaan
utube majlis mesyuarat kerajaan facebook majlis mesyuarat kerajaan

    RAKYAT HARUS JAGA KESIHATAN DAN KESELAMATAN KETIKA BENCANA BANJIR – SULTAN KEDAH

     

    ALOR SETAR (23 September 2024) – Sultan Negeri Kedah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah mencemar duli menziarahi mangsa-mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Stadium Sultan Abdul Halim (SSAH), Suka Menanti di sini, hari ini.

    Tuanku turut diiringi oleh Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor meninjau bertanya khabar serta menyampaikan sumbangan barangan dan wang tunai melalui Tabung Amanah Sultan Kedah (TASK) kepada mangsa-mangsa banjir yang di tempatkan di PPS SSAH menunjukkan keprihatinan Tuanku menyantuni rakyat negeri ini ketika dalam musibah bencana.

    Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali berkata Tuanku Sultan berangkat hadir menziarahi mangsa-mangsa banjir ini adalah untuk memberi kata-kata semangat kepada kira-kira 170 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terpaksa berpindah ke PPS ini dan terdapat juga yang telah pulang ke rumah masing-masing setelah banjir di kediaman mereka telah surut.

    “Secara keseluruhan di Daerah Kota Setar ini, seramai 1,608 keluarga telah terjejas akibat banjir dan sebanyak 19 PPS telah dibuka bagi menampung jumlah keluarga yang terlibat dengan banjir.

    “Setelah tinjauan yang dilakukan, saya mendapati sudah banyak kawasan yang airnya telah surut dan ia membolehkan keluarga yang terlibat untuk pulang ke rumah masing-masing.

    “Alhamdulillah dari bermula hari pertama lagi apabila PPS dibuka di kawasan terjejas banjir, semua agensi Kerajaan Negeri serta Persekutuan memberi komitmen yang sangat tinggi dan pada masa yang sama juga saya telah mengarahkan setiap Pegawai Daerah sentiasa bersiap siaga menghadapi bencana banjir ini.

    “Lebih kurang 1,700 anggota beruniform telah terlibat membantu gerak kerja serta pemindahan terutamanya pemberian barangan makanan yang dilihat mencukupi tanpa sebarang rungutan yang disampaikan,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada media setelah mengiringi Tuanku Sultan Kedah mencemar duli menziarahi mangsa-mangsa banjir di PPS Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti di sini, hari ini.

    Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga & Masyarakat dan Perpaduan Negeri, Dato’ Halimaton Shaadiah Saad; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan Negeri, Dzowahir Ab Ghani; Pegawai Kewangan Negeri Kedah, Dato’ Wira Syed Khairol Anuar Syed Abidin; Panglima Briged Keenam Infantri Malaysia, Brig Jen Dato’ Saipol Anuar Jaafar; Ketua Polis Kedah, Dato’ Fisol Salleh dan Pegawai Daerah Kota Setar, Dato’ Hakim Ariff Md Noor.

    Dalam perkembangan sama, Norizan berkata Tuanku sangat risau dengan bencana banjir yang berlaku ini terutamanya kepada rakyat jelata sehingga Tuanku teringat akan peristiwa bencana banjir yang berlaku pada Tahun 2010 yang lalu.

    “Memandangkan banjir kali ini tidak la seteruk 2010 tetapi Tuanku terus berpesan agar sesiapa yang terlibat dengan banjir ini agar sentiasa menjaga kesihatan dan keselamatan diri,” ujarnya.

    Sumber Berita : Warta Kedah

    © 2024 Hak Cipta Pejabat Dewan Undangan Negeri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman.

    Please publish modules in offcanvas position.

    Laman Web ini sesuai dilayari pada pelayar web Internet Explore II, Google Chrome 35, Firefox 35 ke atas dan resolusi terbaik adalah 1024 x 768 ke atas.

    | Terma & Syarat | Dasar Privasi & Keselamatan | Penafian | W3C | Peta Laman | Portal MyGOVERMENT